ADAT kuno, 'Chhaupadi' di barat Nepal yang memaksa wanita mengasingkan diri dan tinggal dalam kandang yang kurang udara kerana datang bulan. - Foto Reuters

KATHMANDU: Seorang gadis berusia 15 tahun meninggal dunia akibat amalan adat kuno, 'Chhaupadi' di barat Nepal, lapor polis. Pegawai polis, Badri Prasad Dhakal, berkata Roshani Tiruwa dipaksa mengasingkan diri dan tinggal dalam kandang yang kurang udara kerana datang bulan.

Adat itu sudah diharamkan oleh kerajaan sejak 2005. Mayat remaja itu ditemui oleh bapanya dalam sebuah pondok yang diperbuat daripada lumpur di kampung Gajra, daerah Achham, kira-kira 440 kilometer dari barat Kathmandu.

Dia dipercaya mati lemas. "Mangsa menyalakan api untuk memanaskan badan sebelum tidur di dalam kandang yang tiada pengudaraan," kata Badri kepada REUTERS menerusi telefon dari Sanfebagar, bandar utama, di sini.

Menurut kepercayaan 'Chhaupadi,' wanita datang bulan dianggap pembawa malang kepada masyarakat, oleh itu mereka dilarang minum susu dan dibenar makan sedikit sahaja dalam tempoh berkenaan.

Post a Comment

 
Top